Kamis, 18 Desember 2008

Cinta

Islam memelihara keperluan asasi manusia akan ketenteraman rohani melalui rasa cinta kepada Allah S.W.T. Cinta yang secara harfiah dapat didefinisikan sebagi suatu kecenderungan kepada sesuatu yang menyenangkan oleh islam, dalam bentuk mahabbah (cinta rohaniah) kepada Allah yang pada hakikatnya merupakan rahsia dari zat Allah yang tidak dibukakan tabir kerahsiaannya kepada semua orang. Sesungguhnya cinta Ilahiyah itu merupakan rahsia yang terkandung dalam misteri kehidupan ini. Cinta ilahi merupakan bentuk kecintaan dan kerinduan terhadap asal segala sesuatu iaitu Allah, kerana cinta Allah lah manusia diciptakan. Orang yang menyintai sesuatu bukan kerana Allah, hanya akan menunjukkan kebodohannya saja kerana segala sebab yang melahirkan cinta itu sebenarnya hanya ada pada Allah.

Kecintaan pada Allah adalah darjat yang paling tinggi dan merupakan puncak keluhuran martabat yang dapat dicapai oleh hamba-hamba Allah yang berupaya mendekatiNya. Ia hanya dapat dicapai dengan terus menerus berlaku taat kepada Allah, beribadah, beramal soleh dan memperbanyakkan zikir kepadaNya. Termasuk dalam kecintaan itu adalah mengikuti nabi dalam petunjuknya, kezuhudannya, akhlak dan meneladaninya untuk berpaling dari godaan nafsu dan kesenangan dunia sehingga dalam segala hal akan lebih mengutamakan kecintaannya terhadap Allah melebihi cinta kepada diri sendiri dan seisi dunia. Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa:

“Tiada beriman salah seorang dari kamu hingga Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari dirinya dan dari selain keduanya”
Renungan terhadap sifat-sifat kebesaran Allah seperti yang Maha Indah, Maha Kuasa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang akan dapat membangkitkan ghairah cinta kepadaNya. Hanya orang yang buta mata hatinya tidak merasakan getaran itu sehingga tidak mahu mengakui kebesaran Allah, justeru tidak tergerak untuk mencintaiNya. Padahal tenaga penggerak cinta Illahiyah itu sebenarnya telah dapat dirasakan untuk kadar tertentu dalam hati seorang hamba Allah ketika dia mulai mengenal dirinya sendiri. Dengan mengenal siapa sesungguhnya dirinya itu, manusia akan sedar watak insanniyahnya yang cenderung mencintai sesuatu yang berjasa kepadanya, sedangkan yang sebenarnya berjasa adalah Allah.

Gelora cinta itulah yang menggerakkan seorang sufi menanggung rindu untuk sentiasa dekat dan bersamaNya, berasyik masyuk berdialog dalam munajat kepada Allah S.W.T. Demikianlah jika air mata kecintaan Ilahi telah memancar dalam hati manusia sehingga ia akan meniupkan jiwa pengabdian, keluhuran himmah dan cita-cita yang tinggi serta rela menderita dalam kecintaan memperjuangkan agamaNya. Dengan kata lain, seseorang yang menjalin cinta dengan Allah adalah dengan berbagai ibadah sebagaimana firman Allah:
“Hamba-ku tidak dapat mendekati-Ku apabila hanya menunaikan kewajipan-kewajipan yang fardhu. Hamba-ku akan semakin dekat dengan-Ku apabila mengerjakan pula amalan-amalan sunat, sehingga aku mencintainya”

Begitulah seorang mukmin apabila telah mengenal Allah, nescaya akan mencintaiNya. Apabila telah mencintaiNya maka akan berserah diri kepadaNya. Kemudian setelah dia mendapat kenikmatan cintaNya, nescaya dia tidak akan memandang dunia dengan penuh keghairahan nafsu dan tidak akan memandang akhirat dengan pandangan jemu. Dengan demikian orang yang menyembah Allah dengan tulus ikhlas akan menjadi suci lubuk hatinya, yang ada hanyalah cinta kepada tuhannya serta akan dapat merasakan kenikmatan cinta itu sebagai puncak kebahagiaan yang hakiki.

Sumber : http://amirhamzah786.wordpress.com/

Tidak ada komentar:

Kumpul Blogger