Kamis, 18 Desember 2008

Solat Syariat Dan Solat Tariqat

“Hendaklah kamu menjaga solat-solatmu dan solat wustha (yang di tengah)”(Al-Baqarah:238)

Apa yang dimaksudkan dengan solat syariat ialah solat seluruh badan yang zahir dengan gerakan tubuh seperti badan berdiri, lidah membaca, rukuk, sujud, duduk, mengeluarkan suara dan bacaan-bacaan.

Adapun solat tarikat adalah solatnya hati selama-lamanya sebagaimana disebut di dalam Al-Quran “Solat Wustha” iaitu solat hati, kerana hati berada di tengah badan, antara kiri dan kanan, antara atas dan bawah dan antara bahagia dan celaka.Rasullullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya hati manusia ada di antara dua jari-jari Allah. Allah membolak-balikkannya sesuai dengan kehendakNya”

Yang dimaksudkan dengan dua jari Allah ialah dua sifat Allah iaitu Memaksa dan Pengasih. Dari ayat dan hadis ini diketahui bahawa solat yang pokok adalah solat hati. Bila solat hati dilupakan maka rosaklah solatnya dan bila rosak solatnya, rosak pula solat seluruh badannya. Rasullullah S.A.W bersabda:
“Tidak sah solat seseorang kecuali disertai dengan hadirnya hati”

Sesungguhnya orang yang melakukan solat itu sedang bermunajat (berdialog) dengan tuhannya dan alat untuk munajat adalah hati. Bila hati lupa maka batallah solat tarikat (hati) dan solat syariatnya (zahir) kerana hati sebagai pokok utama dan anggota badan yang lain mengikutinya. Rasullullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya di dalam jasad manusia ada segumpal daging. Bila ia baik, sekujur tubuh akan ikut baik dan bila ia buruk, sekujur tubuh akan ikut menjadi buruk. Itulah hati”

Solat syariat mempunyai waktu tertentu di dalam satu hari satu malam iaitu lima kali beserta sunatnya. Solat syariat boleh dilakukan sendirian ataupun berjemaah di masjid dengan mengikut imam dan menghadap kiblat.

Solat tarikat pula dilakukan selamanya tanpa batas waktu selama hidup di dunia dan akhirat. Masjidnya adalah hati. Berjemaahnya dengan terpadunya kesucian batin dengan selalu memperdengarkan tauhid dengan lisan hati. Imamnya adalah rasa rindu di dalam hati untuk sampai kepada Allah. Kiblatnya ialah Hadrat Allah Yang Maha Tunggal dan Keindahan Ketuhanan. Itulah kiblat yang hakiki. Hati dan ruh selamanya tidak terlepas dari solat ini. Hati tidak pernah tidur dan tak akan mati, tapi ia selalu punya kegiatan di saat tidur mahupun jaga.

Solat hati dilakukan dengan hidupnya hati tanpa suara, berdiri dan duduk, ia selalu berhadapan dengan Allah dan mengikuti segala sunnah dan hadis Nabi Muhammad S.A.W. Di dalam tafsir Al-Qadhi disebutkan tentang hati seseorang yang sudah makrifat kepada Allah yang mana dia telah berpindah dari keadaan ghaib (memandang Allah ghaib) beralih kepada Hadrat Ahadiyat (selalu merasa bersama Allah) sesuai dengan sabda Rasullullah S.A.W:

“Para nabi dan para wali selalu solat walau telah berpindah alam (wafat) seperti halnya mereka solat di rumah”

Apabila dua solat telah berpadu (solat syariat dan solat tarikat) lahir dan batin, maka sempurnalah solat itu dan pahalanya pun sangat besar. Qurbah (dekat dengan Allah) diraih oleh solat ruhaniyahnya dan darjat (syurga) diraih oleh solat badannya, maka orang yang melakukan solat seperti ini beerti lahirnya ahli ibadah dan batinnya Arif Billah (yang makrifat kepada Allah).

Sumber : http://amirhamzah786.wordpress.com/

Tidak ada komentar:

Kumpul Blogger